LIPUTANHUKUM.COM: Maritim Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang membawa barangan import tidak berkastam, disyaki bijih timah hancur di kedudukan 11.40 malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat risikan yang disalurkan kepada pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika melaksanakan OP MAKMUR, OP TIRIS dan OP MARDOF.
Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot berkenaan bertindak melarikan diri menuju ke Pulau Tioman sebelum berjaya dipintas selepas kejar-mengejar selama lebih kurang 55 minit.
Pemeriksaan mendapati, 11 kru termasuk seorang tekong, berusia antara 23 hingga 52 tahun, kesemuanya lelaki warga Indonesia berada di atas bot berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati, bot tersebut dipercayai berasal dari Pulau Sarang, Batam, Indonesia dan cuba menyeludup masuk muatan kargo ke perairan negara.
Kesemua mereka ditahan bersama bot dan muatan lebih kurang 7,500 kilogram disyaki bijih timah hancur yang disusun di atas dek bahagian tengah bot dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM900 ribu.
Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan sempadan maritim negara melalui risikan bersepadu dan rondaan berterusan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.(Anto)